Malaysia bebas penyakit Anthrax
- Details
- Hits: 61
PUTRAJAYA – Malaysia disahkan kekal bebas daripada penyakit anthrax walaupun negara jiran, Thailand melaporkan satu kes kematian manusia akibat jangkitan penyakit itu pada 1 Mei lalu. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan kes tersebut berpunca daripada penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan, Thailand yang terletak bersempadan dengan Republik Demokratik Rakyat Lao. Menurut DVS, penyakit anthrax disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia serta membawa maut. “Malaysia bebas daripada penyakit anthrax sejak kes terakhir dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976. Sehingga kini, tiada laporan berkenaan penyakit anthrax di negara ini. “Walau bagaimanapun, DVS sentiasa berwaspada memandangkan penyakit ini masih aktif di beberapa negara lain termasuk Thailand,” kata DVS dalam satu kenyataan pada Ahad. Jelas DVS, penyakit anthrax boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui sentuhan langsung dengan spora bakteria yang dihasilkan oleh Bacillus anthracis. “Antara tanda klinikal yang boleh dikesan pada haiwan termasuk kematian mengejut, demam tinggi, lemah, sukar bernafas, bengkak di kawasan jangkitan terutama di leher, muntah dan cirit-birit. “Dalam sesetengah kes, darah juga boleh keluar dari hidung, mulut atau dubur haiwan,” katanya.
DVS memaklumkan pihaknya telah memohon jaminan daripada pihak berkuasa Thailand bahawa tiada haiwan atau produk haiwan dari kawasan berisiko tinggi anthrax dieksport ke Malaysia. “Kami juga meminta laporan status terkini, langkah kawalan pergerakan haiwan dan pelan kontingensi penyakit anthrax daripada Thailand. Ini penting memandangkan Malaysia mengimport ternakan lembu dan kerbau dari Thailand. “Semua ternakan yang memasuki negara perlu melalui pemeriksaan veterinar yang ketat sebelum dibenarkan masuk,” kata kenyataan itu.
Sebagai langkah pencegahan, DVS menjelaskan pihaknya telah memaklumkan kebimbangan Malaysia kepada pihak veterinar Thailand dan meneruskan pemantauan klinikal ternakan ruminan melalui Program Survelan Kebangsaan bagi mengesan penyakit ini pada peringkat awal. “Kami juga meningkatkan kesiapsiagaan di semua peringkat termasuk DVS negeri, Makmal Veterinar dan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) bagi menghadapi kemungkinan wabak penyakit anthrax,” kata DVS. DVS turut menyediakan garis panduan pemeriksaan anthrax kepada pegawai MAQIS di pintu masuk negara bagi memastikan penguatkuasaan ke atas ternakan import berjalan dengan lebih efisien dan efektif. “Selain itu, kami juga menyediakan risalah panduan berkaitan anthrax untuk diedarkan kepada umum supaya orang ramai memahami langkah pencegahan penyakit ini,” katanya. Pada masa sama, DVS menasihatkan semua penternak supaya meningkatkan tahap biosekuriti ladang, terutama menjelang musim sambutan Aidiladha. “Setiap ternakan baharu yang dibawa masuk ke ladang perlu disahkan tahap kesihatannya oleh Pegawai Veterinar bertauliah dan dilengkapi permit pemindahan sah. Penternak juga dinasihatkan berwaspada terhadap kemasukan ternakan tanpa permit sah, khususnya dari negara jiran. “Semua penternak perlu peka terhadap sebarang tanda klinikal penyakit haiwan ternakan dan segera melaporkannya kepada pihak DVS sekiranya dikesan,” tambah kenyataan itu.
Carian Kakitangan
Pendapat Anda
Adakah anda berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami sediakan?
Statistik
Laman Media Sosial Kami
Imbas QR Code di atas untuk versi telefon pintar