Carta Alir Pelaksanaan Ibadah Korban Tahun 2022
Pelaksanaan Ibadah Korban Tahun 2022
Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji ataupun Hari Raya Korban merupakan perayaan yang akan disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Hukum melakukan ibadah korban dengan melakukan penyembelihan binatang ternakan adalah sunat yang sangat dituntut.
Tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini adalah pada 10 Julai 2022 (10 Zulhijjah 1443 Hijrah) dan ibadah korban akan dilaksanakan selama empat hari bermula daripada tarikh tersebut.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Kedah telah menyediakan prosedur permohonan untuk pelaksanaan ibadah tersebut agar selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan ternakan yang sihat sahaja disembelih dan mengurangkan risiko berlakunya kejadian wabak penyakit ternakan setiap kali selepas musim perayaan.
Oleh demikian, kepada semua yang berhasrat untuk melaksanakan Ibadah korban tahun ini hendaklah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan permohonan pendaftaran penyembelihan hendaklah dibuat di semua Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah yang berhampiran.
Kegagalan untuk mendaftarkan ternakan (lembu dan kerbau sahaja) merupakan satu kesalahan dibawah Enakmen Pendaftaran Kerbau Lembu Negeri Kedah (pindaan pertama 1990) dan boleh dikompaunkan tidak melebihi RM 300.00.
Selain itu, melakukan pemindahan ternakan (lembu, kerbau, kambing dan bebiri) tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar atau Pihak Berkuasa Veterinar yang telah diberikan kuasa olehnya adalah melakukan suatu kesalahan dibawah Akta Binatang 1953 (pindaan 2013) dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 15,000.00.
Sehubungan itu, Jabatan memohon kerjasama semua pihak yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah korban supaya membuat pendaftaran ternakan dan mendapatkan kebenaran untuk pemindahan ternakan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar disetiap daerah selewat-lewatnya pada Khamis, 7 Julai 2022.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lebih lanjut boleh menghubungi talian 04-7205200 atau merujuk kepada laman web http://www.dvskedah.gov.my//atau facebook:Dvs Kedah atau email ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .
Semoga ibadah korban dan amal kebajikan yang kita lakukan atas dasar keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala diterima dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Amin Ya Rabbal Alamin.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah.
1 Julai 2022
Download : Borang Deklarasi Kesihatan Haiwan
Pendapat Anda
Adakah anda berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami sediakan?
Statistik
Laman Media Sosial Kami
Imbas QR Code di atas untuk versi telefon pintar